Sabtu, 23 Oktober 2010

"Sebelum Senja Berlalu"

Disini aku ingin coretkan sebuah kisah, bukan kisah tentang cinta. Tetapi kisah kehidupan penuh dengan duka dan tanda tanya. Kisah sengketa dua saudara. Sengketa yang tiada pengakhirannya………

Ketika usia aku masih kanak-kanak. Bila tiba raya haji kami sekeluarga akan pulang beraya ke kampung aruwah nenek sebelah ayah. Akulah yang paling teruja, ingin berjumpa nenek tercinta. Arwah nenek tinggal sendirian, selepas berpisah dengan arwah atuk, suatu masa dahulu. Perpisan mereka tiada terjadinya sengketa. Tiada cebisan dendam antara mereka.

Arwah nenek meninggalkan kami ketika aku masih belajar mengerti akan nikmat dunia. Saat-saat indah yang pernah aku lalui ketika dahulu itu, telah aku ukir indah dalam kitab sejarah hidup ini.

Selepas sahaja arwah nenek pergi meninggalkan kami, hubungan diantara keluarga aku dengan saudara sebelah ayah semakin berjauhan dan telah tercipta satu garisan. Aku tidak mengerti akan wujudnya garisan itu.  Sesupupu merupakan juga teman sepermainan dahulu, akhirnya hubungan kami putus tanpa aku ketahui akan sebabnya. 

Teman yang pernah mandi laut bersama-sama, teman yang pernah berkongsi makan, teman yang pernah tidur sebantal. Dan kini hanya menjadi kenangan tinggal kenangan. Kami berpisah berlalu  pergi dengan arus putaran masa. Seiring dengan tahun, musim dan hari silih berganti. Garisan yang memisahkan   kami akhirnya telah menjadi jurang.

Begitu juga hubungan ayah aku dengan adiknya, pakcik aku. Hubungan dua beradik yang dahulunya utuh, kini rapuh menanti roboh. Walaupun hubungan itu sebenarnya telah roboh kerana keegoan masing-masing. Coretan bicaraku  ini, bukan niat untuk menzahirkan  keburukan mereka. Tetapi sebaliknya untuk dijadikan pengajaran untuk kita bersama.

Persengketaan yang, telah merosakan ukiran sejarah hidup mereka berdua. Dan aku hanyalah mampu berdoa agar air yang keruh kembali jernih. Disebabkan persengketaan itulah tempiasnya terkena pada kami anak-anak mereka. Sengketa tidak aku tahu dari mana ianya bermula?? Apakah sengketa itu akan kami warisi??

Biar apapun sengkata yang pernah terjadi, sepanjang hidup  ayah aku tidak pernah  keburukan pakcik meniti dibibirnya. Sebaliknya ayah sering berpesan agar kami jangan berdendam pada pakcik mahupun anak-anaknya. Katanya “ Seburuk-buruk manapun mereka, mereka tetap keluarga kita” tetapi kenapa ayah dan pakcik masih teruskan sengketa mereka? Pertanyaan yang belum aku temui jawapanya...

Semoga tuhan melembutkan hati mereka berdua. Dan jurang serta sengketa yang terjadi kembali rapat dan berakhir hendaknya. Sebagai seorang anak aku mengharapkan sebelum usia di penghujung senja mereka berdua bersatu kembali. Selagi siang masih ada, “SEBELUM SENJA  BERLALU” pergi……..

Tiada ulasan: